Kekata renaissance, yang diertikan 'lahir atau bangkit kembali' muncul pertama kali di
Eropah bak diceritakan buku The Renaissance karya Jocelyn Hunt (2005), yang menyatakan kebangkitan itu mengandungi makna kemanusiaan dan perubahan tidak hanya terjadi dalam hal seni, kesusasteraan dan ilmu sahaja, bahkan lebih penting daripada itu, iaitu perubahan ke arah teknologi maju. Mesin cetak ditemukan sehingga meluaskan kadar kenal huruf dan ilmu.
Kesannya telah mengubah model pemerintahan dan sistem kerajaan.
Antara tokoh renaissance ialah Leonardo da Vinci (1452 - 1519) termasyhur sebagai pelukis dan pengukir arca zaman Renaissance yang menghasilkan banyak maha karya, termasuk di dalamnya, dua lukisan terkenal Mona Lisa dan Makan Malam Terakhir (The Last Supper).
Selain itu, beliau juga seorang pereka peralatan pertahanan, ilmuwan, penemu, jurutera, penulis, ahli botani dan ahli muzik. Di samping itu, Leonardo - yang berambut panjang, keriting dan berwarna merah tua serta berperangai menyenangkan dan tampan - juga berbakat sebagai penglipur lara, pemuzik, penjenaka, seniman, pencinta kebebasan dan ahli silap mata.
Sekitar 40 tahun sebelum ahli astronomi Nicolaus Copernicus (1473-1543), Leonardo mencatat bahawa matahari tidak bergerak dan bumi bukan pusat perputaran matahari serta bukan pusat galaksi.
Bahkan 60 tahun sebelum ahli astronomi Galileo Galilei, Leonardo menyarankan agar kanta pembesar digunakan untuk mempelajari permukaan bulan dan benda langit yang lain.
Sekitar 200 tahun sebelum ahli fizik Isaac Newton, Leonardo telah mengemukakan konsep graviti.
Malah 400 tahun sebelum ahli sains Charles Darwin, Leonardo telah mengenalkan teori evolusi dengan menempatkan manusia dalam kategori yang sama dengan kera dan monyet, kecuali bahawa manusia berakal.
Dalam bidang anatomi pula, Leonardo melukis penampang anggota tubuh (cross section) - gambaran manusia dan kuda yang paling terperinci dan menyeluruh, melakukan penyelidikan bayi di dalam rahim ibu dan membuat cetakan otak dan saluran jantung.
Banyak lagi pencapaian Leonardo yang tidak dapat dimuatkan dalam makalah ringkas ini. Sesungguhnya, beliau mendahului zamannya.
Dalam buku How to think like Leonardo da Vinci, Michael Gelb menggariskan tujuh prinsip pati:
· Ingin Tahu
Keinginan untuk terus belajar sesuatu yang baru dengan mengamati alam dan mempertanyakan mengapa sesuatu fenomena terjadi. Dalam proses pembelajaran ini, Leonardo menyarankan agar memperluas cakerawala pengetahuan, maka seseorang perlu mempelajari bidang lain, bidang yang bukan keahliannya.
· Uji Selidik (dimostrazione)
Leonardo tidak menerima bulat-bulat sesuatu ilmu atau teori. Beliau mengujinya dengan eksperimen dan mengalaminya sendiri (dimostrazione). Ketika mengalami kegagalan dalam eksperimen, beliau kekal berusaha dan tidak putus asa.
· Kepekaan (sensazione)
Rahsia melakukan eksperimen ialah dengan mempertajamkan deria. Leonardo sentiasa mempertajamkan deria sebagai disiplin - matanya untuk menghasilkan lukisan hebat dan telinganya untuk mendalami muzik.
· Memasuki Kesamaran (Sfumato)
Leonardo sanggup menceburi kekaburan, paradoks (suatu yang bertentangan) dan ketidakpastian dengan fikiran terbuka demi menghasilkan daya cipta.
· Seni dan Sains (Arte/ Scienza)
Bagi Leonardo, seni dan ilmu bak bergandingan. Ia berfikiran logik dalam mempelajari mekanisme sesuatu benda dan membuat lakaran atau sketsa yang indah untuk catatannya. Beliau dikatakan seimbang dalam menggunakan otak kanan dan kirinya.
· Keseimbangan Tubuh dan Minda (Corporalita)
Di samping memiliki kecerdasan yang tinggi dan berbakat seni, Leonardo juga diberi kekuatan jasmani. Beliau cekap berkuda, berenang dan bermain anggar (permainan pedang). Beliau menyatakan bahawa arteriosklerosis (dinding arteri hilang kekenyalan) dapat mempercepatkan proses penuaan dan ini kerana kurangnya senaman seperti olahraga. Beliau juga mempercayai bahawa diet adalah kunci kesihatan.
· Penjalinan (Connessione)
Insan harus dapat menghargai jalinan antara benda dan fenomena, iaitu meneliti dan memahami hubung kait pelbagai sistem (systems thinking). Leonardo berusaha mempelajari bagaimana burung dapat terbang sehingga