December 13, 2008

Mansor Sukaimi dalam kenangan part 2

BERITA HARIAN SINGAPURA 15 NOVEMBER 2008

MANSOR SUKAIMI MENINGGAL DUNIA

Mantan AP Kampong Kembangan hidap barah leukemia sejak Ogos

OlehChairul Fahmy Hussaini Dan Shamsul Jangarodin

MANTAN Anggota Parlimen bagi kawasan undi Kampong Kembangan, Haji Mansor Haji Sukaimi, meninggal dunia semalam selepas menghidapi barah leukemia sejak Ogos lalu.
Allahyarham Haji Mansor, 65 tahun, kembali ke rahmatullah setelah organnya gagal berfungsi hingga menyebabkan degupan jantungnya berhenti sekitar 12.40 tengah hari.
Beliau yang menghidapi penyakit leukemia - sejenis barah dalam darah yang mengancam nyawa - telah menjalani rawatan di Hospital Besar Singapura (SGH) sejak 16 Ogos lalu.
'Doktor cuba menyelamatkan bapa tetapi gagal...
'Kami ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak termasuk mereka yang tampil untuk menderma platelet dan mendoakannya,' ujar anak perempuannya penuh hiba, sambil meminta agar namanya tidak disiarkan.
Jenazah Allahyarham telah disembahyangkan di Masjid Sultan dan dikebumikan di Pusara Abadi, petang semalam.
Allahyarham Haji Mansor memenangi pilihan raya umum dan menjadi wakil rakyat Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi kawasan undi Kampong Kembangan selama dua penggal - 1976 hingga 1980, dan 1980 hingga 1984.
Allahyarham Haji Mansor akan sentiasa dikenang sebagai antara pemimpin yang bertanggungjawab dalam pembentukan Yayasan Mendaki pada 1981 dan dilantik sebagai Setiausaha Eksekutifnya yang pertama sehingga 1985.
Mendaki dalam kenyataannya semalam berkata beliau akan dikenang atas sumbangannya dan 'sebagai seorang yang amat percaya tentang pentingnya perkembangan awal kanak-kanak'.
Sebelum menyertai politik, Allahyarham bertugas sebagai Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Sekitaran (ENV), kini dikenali sebagai Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR).
Selepas mengakhiri kerjaya politiknya beliau menjadi perunding cara dalam bidang pembangunan keluarga dan kanak-kanak dan mengasaskan Institut Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Nury, di Malaysia dan Singapura.
Pemimpin masyarakat Melayu/Islam menyifatkan pemergian Allahyarham Mansor sebagai satu kehilangan besar.
Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, berkata Allahyarham Haji Mansor telah memberi sumbangan cukup bermakna kepada masyarakat.
'Saya menemuinya baru-baru ini semasa beliau dirawat di hospital dan Allahyarham masih tetap prihatin terhadap perkembangan dalam masyarakat dan mengongsi pandangannya dengan saya.
'Masyarakat kehilangan seorang yang sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan kita,' ujarnya.
Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo, yang ditemui di Masjid Sultan berkata Allahyarham mempunyai semangat yang besar untuk berkhidmat kepada masyarakat dan Singapura bertuah mempunyai beliau sebagai anggota parlimen bagi Kampong Kembangan.
Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed, berkata:
'Allahyarham akan sentiasa dikenang bagi jiwa, semangat, dedikasi dan pengorbanannya untuk masyarakat dan negara.'
Mantan Menteri Negara Kanan (Sekitaran), Encik Sidek Saniff, dengan nada sebak pula berkata:
'Masyarakat kehilangan tokoh yang baik dan saya kehilangan seorang sahabat yang saya anggap seperti adik saya sendiri.'
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak yang berusia antara 28 tahun dengan 41 tahun serta 11 orang cucu.

1 comment:

yanee said...

takziah.
when the time comes,theres nothing we can do.
=D
peace